Saturday, May 19, 2012

Pesta Kaamatan Kukuhkan Lagi Perpaduan Antara Rakyat

TELUPID (Sabah), 19 Mei -- Sambutan Pesta Kaamatan oleh kaum Kadazan, Dusun dan Murut di negeri ini memainkan peranan penting dalam mengukuhkan lagi perpaduan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata ini kerana perayaan tersebut bukan hanya disambut oleh tiga kaum itu, malah turut disertai kaum lain tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya ini selari dengan konsep 1Malaysia dengan rakyat di negara ini sama-sama menyambut setiap perayaan yang dirai oleh mana-mana kaum.

"Ia menjadi keunikan di negara dengan setiap perayaan disambut bersama oleh semua rakyat dalam suasana hormani yang wujud daripada semangat perpaduan yang kukuh," katanya ketika melancarkan sambutan perayaan Pesta Kaamatan peringkat daeran Beluran di sini malam tadi.

Pairin, yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Sabah, berkata menyedari sumbangan perayaan pesta Kaamatan kepada perpaduan antara rakyat, kerajaan mengiktiraf sambutan perayaan itu termasuk memberi cuti umum pada 30 dan 31 Mei di negeri ini.

Sambutan perayaan Kaamatan peringkat negeri dilancarkan pada 1 Mei lepas oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Kuala Penyu dan acara kemuncak sambutan peringkat negeri pada 30 dan 31 Mei di Dewan Kebudayaan Hongkod Koisaan (KDCA) di Penampang.

Pesta Kaamatan atau dalam bahasa Kadazan 'Magavau' merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati 'Bambazon' iaitu semangat padi dan diadakan selepas selesai menuai padi.

-- BERNAMA

p/s: Keehuii.. Aramaitiee .. kehangatan pesta kaamatan semakin dekat. Start sudah rancak sambutan di setiap mukim-mukim daerah di Sabah.

No comments:

Post a Comment