Sunday, June 10, 2012

Tiga kubur lama digali pihak tidak bertanggungjawab

TIGA kubur lama yang terletak dalam tanah persendirian di kawasan tanjung di Kampung Tanjung Pisau/Lalason telah dicerobohi dan digali oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Keluarga pemilik kubur yang digali itu yang mendapat tahu perkara berkenaan telah memaklumkan kepada Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol dan membawa wakil rakyat mereka itu melihat keadaan kubur berkenaan.

Tanah perkuburan yang terletak di kawasan tanjung itu dipercayai telah dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab lebih seminggu yang lepas.

Keluarga yang terlibat telah membawa Juslie ke lokasi kuburan berkenaan yang mana untuk sampai di lokasi perkuburan itu hanya dengan menggunakan bot dari Kampung Tanjung Pisau.

Juslie yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Libaran ketika ditemubual melahirkan rasa simpati dengan kejadian yang berlaku ini.

“Saya telah mendapat tahu kejadian ini pada malam kelmarin (Khamis) dan hari ini (Jumaat) saya telah turun bersama keluarga bagi melihat kubur yang telah digali dan kawasan yang dicerobohi ini,” katanya.

Beliau telah menasihati waris keluarga kubur berkenaan agar membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Ini terpulang kepada keluarga waris kubur berkenaan bagi mengambil tindakan selanjutnya,” katanya menambah kerajaan persekutuan telah meluluskan akta tentang kuburan-kuburan di Malaysia ini yang mana perlu dijaga dan tentunya ada nilai sejarah ataupun menjadi tarikan pengunjung.

Juslie berharap ketua-ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta para pemimpin agama agar melihat kepentingan kuburan-kuburan berkenaan yang mungkin mempunyai sejarah tersendiri.

“Kita juga perlu mempunyai sikap menghormati keluarga waris kubur berkenaan dan sentiasa menjaga kubur-kubur terbabit,” katanya.

Beliau menambah kuburan yang mempunyai nilai sejarah seperti ini yang mana suatu ketika dahulu kawasan ini merupakan satu penempatan penduduk yang telah diwarisi oleh keluarga waris-waris kubur ini.

Sementara itu, waris keluarga kuburan berkenaan, Abdul Kifli Ghani berkata, “kami telah difahamkan kawasan ini telah dicerobohi lebih seminggu yang lepas setelah dimaklumkan oleh penduduk kampung yang menjalankan aktiviti memukat ikan di sekitar kawasan tanjung ini.

“Kuburan ini telah lama dan sebelum ini kawasan kubur ini kami bersihkan,” katanya sambil menegaskan seharusnya kuburan ini tidak diganggu.

Beliau berkata setelah diberitahu kami pergi ke sini bagi melihat kubur allahyarhamah kakak yang telah disemadikan di sini sejak tahun 1963 dan dua kubur anak buahnya telah digali.

“Ini mengejutkan kami yang merupakan waris-waris kuburan berkenaan,” katanya sambil menjelaskan tanah yang terletaknya kuburan berkenaan adalah tanah persendirian dan kini telah terbiar.

Abdul Kifli berkata kawasan ini dahulunya merupakan penempatan penduduk sebelum mereka berpindah ekoran berlakunya ancaman lanun pada tahun 60-an.

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan ketua kampung kawasan ini berhubung kejadian berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Manakala seorang lagi waris keluarga, Saadiah Usman mengucapkan terima kasih kepada Juslie yang sama-sama melihat keadaan kubur keluarga mereka yang telah digali ini.

“Saya tidak menduga kuburan ibu saya, adik dan sepupu saya telah digali. Ini amat menyedihkan kami sekeluarga,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran, Saapilin Md Yassin; Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran, Mazlani Jenuary; Bendahari Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Libaran, Rizan Aziz dan para pemimpin di kawasan berkenaan.

sumber: Utusan Borneo - 8 Jun 2012

No comments:

Post a Comment