Sunday, June 10, 2012

Sindiket ‘IC Palsu’ tumpas

Seramai 19 ditahan, termasuk seorang pegawai JPN

TAWAU: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPD Tawau berjaya membongkar kegiatan sindiket ‘IC Palsu’ yang disyaki didalangi oleh seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bergiat aktif di sekitar Pantai Timur negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Keong Ho Eng, berkata kejayaan itu merupakan tangkapan terbesar yang direkodkan melibatkan kes-kes penipuan dokumen pengenalan diri oleh pihak JSJK di Tawau sepanjang tahun ini.

“JSJK telah menahan seramai 16 individu di sebuah hotel di sini pada 25 Mei lalu kira-kira jam 11 malam dalam serbuan yang diketuai oleh Inspektor Siva Prakash di sebuah bilik hotel berkenaan,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau di sini kelmarin.

Beliau menjelaskan bahawa penangkapan 16 individu terbabit termasuk seorang wanita itu turut membawa kepada tiga lagi penahanan susulan.

Tambahnya, tiga individu terlibat termasuk pegawai JPN terbabit ditangkap dalam tempoh di antara 26 hingga 28 Mei lepas dan lima daripada mereka yang ditangkap telahpun didakwa di Mahkamah Tawau dan Lahad Datu.

“Pegawai berusia 52 tahun itu termasuk seorang lagi suspek didakwa di Mahkamah Lahad Datu, manakala tiga orang lagi yang terdiri daripada dua lelaki Semenanjung dan seorang lelaki tempatan didakwa di Tawau,” katanya.

Mengenai serbuan di hotel berkenaan, pihak polis mendapati sindiket terbabit sedang menguruskan hal-hal pendaftaran pemprosesan dokumen palsu mangsa-mangsa mereka yang dipercayai terdiri daripada warga asing.

Beliau menjelaskan hasil siasatan lanjut juga mengesahkan bahawa sembilan daripada individu terlibat merupakan lelaki warga Malaysia, lapan lelaki warga Pakistan, seorang lelaki berketurunan Jawa Indonesia dan seorang wanita warga Filipina.

Menurutnya, JSJK turut merampas sebuah beg, 107 borang pendaftaran membuat MyKad (belum berisi), lima borang yang dilengkapi cap jari dan gambar, sembilan sijil lahir, dua borang Bantuan Rakyat 1Malaysia, satu ‘stampad’, lima buku cek dan wang tunai RM1,000.

“Modus operandi sindiket ini kita percaya berorientasikan penawaran dokumen berbentuk MyKad asli dan meminta mangsa-mangsa mereka supaya menyerahkan duit di antara RM1,000 – RM5,000, gambar, sijil lahir (jika ada) dan cap jari.

“Malah, sindiket ini juga dipercayai menggunakan jawatan lelaki terbabit sebagai pegawai JPN di Putrajaya dan menggunakan borang-borang pendaftaran yang asli untuk menyakinkan orang ramai supaya mempercayai kegiatan mereka adalah sah di sisi undang-undang.

“Kita percaya mereka bergiat aktif di sekitar daerah Tawau, Lahad Datu dan Semporna, bagaimanapun setakat ini belum ada seorangpun mangsa penipuan sindiket ini yang tampil untuk membuat laporan di Semporna,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai khususnya mangsa-mangsa penipuan sindiket terbabit agar tampil membuat laporan polis bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap anggota sindiket berkenaan.

Beliau berkata, pihak polis juga telah mendapatkan kepastian daripada pihak JPN berhubung status pegawai JPN terbabit yang difahamkan sedang bercuti dan anggota sindiket itu menjalankan proses pendaftaran di luar pejabat JPN sebagai mencurigakan.

Utusan Borneo difahamkan, siasatan dan pendakwaan kes itu dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

sumber: Utusan Borneo - 8 Jun

ps/: Nah kan, kes seperti ini masih lagi ada bukan berkurangan tapi semakin membiak kegiatan seperti ini. Tahniah dan syabas kepada pihak polis patutnya dari dulu lagi siasat dan tangkap orang-orang seperti. Pegawai JPN itu memang seorang pengkhianat negara sanggup menjual kerakyatan warga Malaysia. Tolong kepada pihak yang berkenaan selesaikan kes-kes seperti ini sekerap yang mungkin agar Sabah bebas daripada pertambahan PATI yang tidak diundang di Sabah.

No comments:

Post a Comment