Sunday, May 6, 2012

TIADA GURU, SEKOLAH TERPAKSA DITUTUP



TINJAU.....Bung Moktar ketika meninjau keadaan SK Balat kelmarin.

Oleh : YUSOP TEPPO

KINABATANGAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Inarat yang terletak di pedalaman negeri Sabah telah ditutup hampir dua minggu ekoran ketiadaan guru di sekolah berkenaan.
 
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin meminta Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Sabah supaya melihat pelantikan guru-guru yang berasal dari Kampung Inarat itu sendiri untuk berkhidmat.

“Kampung ini memang terpencil dan sekiranya menggunakan kenderaan melalui jalan darat, mengambil masa tujuh hingga lapan jam perjalanan untuk sampai ke sana,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah terbabit.

Beliau menambah kalau hujan sudah tentu kawasan itu sukar dilalui dan guru-guru tidak dapat sampai dan ekoran daripada ini SK Inarat telah ditutup hampir dua minggu.

“Guru-guru yang berkhidmat di kawasan itu sukar untuk sampai ke sana ekoran keadaan jalan yang teruk,” katanya.

Beliau yang turut melahirkan rasa kesal ekoran terdapat dua orang guru tempatan yang berkhidmat di situ telah diberhentikan perkhidmatannya kerana mereka ini adaalah guru sandaran.
 
“Ini telah mengakibatkan murid-murid di sekolah itu tidak dapat bersekolah dan sekolah terpaksa ditutup,” katanya.

Bung Moktar menjelaskan ini telah menafikan dasar Kementerian Pelajaran itu sendiri yang mana pihak kementerian telah memilih guru-guru dari luar yang kadang-kadang sukar untuk berkhidmat di situ.

“Kementerian perlu selesaikan masalah ini dengan segera kerana kita tidak mahu anak-anak di Kampung Inarat itu tidak dapat bersekolah dan tertinggal dari pelajaran mereka yang sepatutnya,” katanya.

Sementara dari itu dalam lawatan ke sebuah sekolah lagi, Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata, demikian juga SK Balat yang mana sekolah itu masih melaksanakan pembelajaran mereka di bawah bangunan sekolah berkenaan.

“Ini dilihat adalah tidak amat sesuai dan pihak berwajib perlu melihat permasalahan yang dihadapi oleh sekolah ini untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata satu lagi masalah di SK Balat ini di mana sistem solar yang terdapat di sini tidak berfungsi sejak dipasang lima tahun lalu.

“Saya amat kesal dan ini amat menyukarkan pihak sekolah serta murid-murid yang mengharapkan sistem solar itu dapat dimanfaatkan tetapi tidak pernah beroperasi sejak dipasang,” katanya.

Beliau menegaskan sekiranya pihak kementerian tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan, lebih baik ia mencadangkan agar sistem solar yang ada itu ditutup kerana tidak berfungsi.

“Tiada satu manfaat yang diperolehi oleh pihak sekolah dan murid-murid di sini kerana tiada sebarang sumbangan selepas pembinaan projek solar berkenaan,” katanya.
 
sumber: Utusan Borneo
 
p/s: Okies kali ni kes bukan berkaitan dengan kekurangan guru tetapi masalah jalan ke sekolah tersebut. Banyak kes sekolah macam begini ni. Ada beberapa persoalan di sini. Adakah kuarters atau rumah guru dibina di kawasan sekolah tersebut? Kalau ada kenapa tidak tinggal saja di sana tapi kalau tiada mimang payahla guru-guru mo ulang-alik pigi sekolah tersebut. Lagi persoalan, kenapa guru-guru sandaran di tempatan di kampung tersebut diberhentikan khidmat mereka. Diorangkan orang kampung di situ, tinggal di situ. Bukankah ia memudahkan kerja sebagai seorang guru dan memudahkan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Sabah untuk berhubung dengan mereka dan mengawal selia keadaan di sekolah sekiranya guru-guru lain tidak dapat turun ke sekolah disebabkan masalah jalan darat yang kalau di pedalaman Sabah ni mimang teruk sekali. Tolong lah Kementerian yang terbabit ambil perhatian tentang masalah seperti ini terutamanya masalah jalan pengangkutan yang penting bukan saja untuk guru-guru malah kepada penduduk kampung terbabit.

No comments:

Post a Comment