Tuesday, April 22, 2014

Pipi murid tahun empat tertusuk besi



KOTA KINABALU 21 April - Seorang murid tahun empat berhadapan detik cemas apabila sebatang besi sepanjang satu meter tertusuk ke dalam mulut lalu menembusi pipinya, ketika sedang bermain di luar pekarangan sebuah sekolah rendah di sini hari ini.

Berikutan kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, mang-sa, Huguan Isaac, 10, mengalami kecederaan di bahagian pipi di sebelah kanan mukanya.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang sedang menunggu bas di kawasan letak kenderaan selepas tamat waktu sekolah, bermain-main di luar pekarangan sekolah sebelum terpijak besi penutup longkang yang rosak lalu terjatuh.

Malangnya, semasa rebah, sebatang daripada besi itu terjungkit dan memasuki mulut seterusnya menembusi pipinya sedalam 12 sentimeter.

Ibu bapa murid-murid yang gempar dan terkejut dengan kejadian itu bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Lebih memilukan apabila mang-sa dikatakan langsung tidak menitiskan air mata sebaliknya hanya duduk di tepi longkang sehingga ketibaan anggota bomba.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Nordin Fauzi ketika dihubungi hari ini memberitahu, mangsa dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk mendapatkan rawatan.
Tinjauan Utusan Malaysia di hospital berkenaan mendapati mangsa dipercayai telah selesai menjalani pembedahan kecil membuang besi berkenaan, kira-kira pukul 4.30 petang.

Sumber memberitahu, pembedahan kecil mengeluarkan besi tersebut mengambil masa selama 35 minit dengan tujuh kesan jahitan.

Sementara itu, ibu mangsa yang enggan dikenali melahirkan rasa syukur kerana anak bongsu kesayangannya selamat dan dilaporkan stabil.

Dia terkejut dan bergegas ke hospital sebaik sahaja dimaklumkan pihak sekolah.
Wanita itu turut kesal atas tindakan segelintir pihak yang menyebarkan gambar anaknya di laman sosial dan Whatsapps.

"Saya sebagai ibu sedih melihat gambar anak saya disebarkan di laman sosial. Saya harap orang ramai menghormati keluarga saya dan berhenti menyebarkan gambar tersebut," katanya yang memuji tindakan pantas pasukan bomba dan penyelamat serta pihak sekolah.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140422/dn_14/Pipi-murid-tahun-empat-tertusuk-besi#ixzz2zZfb5CHC

p/s: Ni salah siapa ni?

No comments:

Post a Comment