TERSEPIT... beginilah keadaan lori yang dipandu oleh mangsa yang terbebas.
TAMBUNAN: Seorang pemandu lori maut tersepit apabila lori treler membawa kontena yang dipandunya terbabas dekat sini pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Robert Solisip @ David yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, mangsa yang identitinya belum dapat dipastikan berumur dalam lingkungan 40-an.
Katanya, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 9 pagi Rabu di kilometer 21 jalan Tambunan-Kota Kinabalu berhampiran dengan sebuah pusat penjagaan alam sekitar di sini.
Siasatan pihak polis menunjukkan bahawa lori yang bergerak menuruni bukit dari arah Tambunan menuju ke Kota Kinabalu sedang melalui kawasan berbukit apabila kejadian itu berlaku.
“Lori treler membawa kontena itu sedang menuruni sebuah cerun yang berselekoh tajam ke sebelah kiri. Apabila mangsa, yang memandu seorang diri, cuba memperlahankan lori berkenaan, brek lori tersebut tidak mencengkam.
“Ini mengakibatkan lori hilang kawalan, lalu merempuh tebing jalan sebelah kanan mengakibatkan kompartmen pemandu remuk dan treler kontena tercabut lalu terbalik. Mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” jelas beliau.
Robert berkata, pemeriksaan di kawasan tempat kejadian menunjukkan jalan tar, selekoh tajam, menurun bukit, cuaca baik serta permukaan jalan yang kering.
Beliau berkata bahawa pemandu tidak disyaki mabuk. Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
sumber: News Sabah Times
p/s: Berhati-hati ketika memandu terutamanya masa turun bukit dan selekoh.
No comments:
Post a Comment