Tuesday, July 30, 2013

Krisis Kehabisan Minyak di Sabah

Isu kekurangan diesel dan barangan keperluan



Krisis minyak diesel yang menjadi kronik minggu lepas nampaknya sudah semakin reda di Sabah tetapi baru bermula di Sarawak. Barisan panjang menunggu giliran isi minyak oleh kenderaan berat, pengangkutan awam, bas sekolah dan kenderaan pacuan empat roda sudah berkurangan di kebanyakan stesen minyak di sekitar bandar utama di Sabah.

Mungkin krisis diesel akan reda tetapi orang Sabah masih marah kerana ini bukannya pertama kali krisis kekurangan atau kehabisan barangan perlu pernah berlaku.

Sebelum kita membincangkan penyebab utama dan cara - satu cara sahaja - mengatasinya, kita lihat dulu sebab-sebab mengapa orang Sabah masih marah dan "girigitan" dengan kerajaan BN. Pertama, BN telah mungkir janjinya untuk mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Orang Sabah "girigitan" - perkataan Sabah yang bermaksud marah, kecewa, sakit hati tetapi tidak dapat berbuat apa-apa - kerana Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berdolak dalik dan menafikan ada kekurangan diesel.

Rakyat Sabah belum dan tidak akan lupa kerana krisis kekurangan barangan keperluan telah berlaku berulang kali, malahan telah menjadi semakin parah sejak kebelakangan ini. Krisis kehabisan simen, besi dan barangan perlu sektor pembinaan yang menyebabkan projek-projek pembinaan di Lembah Kelang tergendala pada 1995-1996.

Kekurangan minyak diesel dan petrol, minyak masak, gula, tepung, daging ayam dan telur dan pelbagai barangan perlu lain juga pernah melanda seluruh negara semasa pentadbiran Pak Lah. Rakyat Sabah boleh menjangka bahawa kekurangan barangan perlu akan melanda lagi menjelang perayaan-perayaan yang akan datang.

Kemarahan orang Sabah telah disuarakan oleh wakil rakyat yang mereka pilih. YB Darrell Leiking berpendapat stesen-stesen minyak di Sabah seringkali habis sebab Sabah mempunyai banyak pacuan empat roda akibat keadaan jalan yang buruk (teruk).

Sementara itu YB Hiew, YB Jimmy Wong dan YB Au menyatakan kebimbangan mereka terhadap dakwaanberleluasanya masalah sindiket pasaran gelap di mana peniaga tamak haloba membeli dan mengumpul minyak diesel bersubsidi untuk dijual semula kepada industri yang tidak jujur.

Jalan raya berlubang

Sementara itu, YB Chin Su Phin mencabar menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan untuk meletakkan (jawatan) sekiranya tidak berupaya menyelesaikan masalah tersebut. Beliau menyatakan rasa kesal kerana kementerian tidak dapat menyelesaikan punca akar umbi krisis diesel yakni penyeludupan ke negara jiran.

Seperti juga YB lain, beliau mempersoalkan mengapa negeri pengeluar petroleum utama mengalami kekurangan diesel. YB Jeffrey pula menegaskan masalah penyeludupan diesel membuktikan bahawa ESSCOM (sebenarnya ESSZONE atau Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah) tidak efektif.

Beliau juga berpendapat bahawa langkah "piece-meal patchwork" seperti pengumuman menambah bekalan 8 juta liter diesel tidak akan menyelesaikan masalah pada masa panjang.

Kalau jalan raya di bandar pun sentiasa berlubang (dan sentiasa ada kontraktor tutup lubang siang hari malam) apatah lagi di luar bandar. Orang miskin dari kampung memang bergantung kepada kenderaan awam (termasuk teksi dan bas sapu) berenjin diesel. Yang berpendapatan tetap pula boleh berhutang bank menyewa beli kenderaan pacuan empat roda.

Hakikatnya adalah sebahagian besar pemilik four wheels sebenarnya adalah orang kaya yang memiliki four wheels untuk simbol status. Memandu kereta besar menambah super-ego jadi pemandu four wheels selalu bermaharaja lela di jalan raya (biasanya mereka biadap suka memotong queue dari kiri).

Mungkin jumlah four wheels dan kenderaan berenjin diesel di Sabah lebih banyak telah meningkatkan permintaan diesel. Tetapi adakah ianya penyebab utama krisis -stesen minyak kehabisan diesel (dua kali kronik dalam bulan Julai)? Mungkin tidak. Kenapa krisis diesel sentiasa berulang menjelang musim-musim perayaan?

Bagaimana dengan masa bukan perayaan dan selepas bekalan diesel tambahan sampai ke stesen-stesen minyak, ke mana perginya kesemua kenderaan berenjin diesel tersebut? Kalau dakwaan itu benar, kenapa kita tidak kehabisan diesel sepanjang tahun walhal kenderaan berenjin diesel sentiasa ada (lebih-lebih lagi masa peak pelancongan)?

Bagaimana pula krisis habis diesel yang juga sedang melanda Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Melaka dan kawasan lain di Malaysia? Jumlah four wheels perkapita di Australia dan Amerika Syarikat ratusan kali ganda lebih tinggi berbanding dengan jumlah di Sabah tetapi stesen minyak di sana tidak mengalami kekurangan apatah lagi kehabisan diesel berulang kali.

Tamak haloba


Peniaga yang tamak haloba memang wujud, tetapi kenapa hanya beli-jual diesel? Bagaimana dengan petrol bersubsidi? Sindiket pengumpul pasti beli-kumpul dan jual balik petrol, soalnya kenapa diesel dulu berkurang dan habis? Sebenarnya, pengumpul minyak bersubsidi beroperasi sama seperti peniaga lain, mereka juga membayar kos kendali.

Tolak kos ubahsuai tangki, upah kelindan, kos rasuah sekiranya ter(di) tangkap, kos pengangkutan dan kos storage, maka "profit margin" mereka tidak setinggi seperti "kiraan atas sampul surat" YB Hiew.

Penjual tidak akan wujud tanpa pembeli. Pembeli utama adalah smallhoders kelapa sawit yang terpencil, lebih murah beli dari pengumpul daripada mereka sendiri keluar ke bandar. Pembeli kedua yang sering menjadi mangsa tuduhan yang dikatakan bersalah (sebelum dibicarakan dan tanpa bukti) diajukan oleh kementerian dan YB-YB (kerajaan atau pembangkang) adalah pihak industri sektor pelancongan, pembinaan, perladangan dan perikanan yang banyak menggunakan diesel.

Firma-firma ini dikatakan menggurangkan kos (minyak adalah komponen kos kedua besar selepas buruh) dengan membeli minyak bersubsidi. Kebanyakan firma disyaki membeli dari pasaran gelap, mereka yang jujur membeli harga industri tidak dapat bersaing dalam pasaran. Kajian-kajian mendapati bahawa penjimatan kos pengeluaran oleh syarikat-syarikat kelapa sawit yang besar (big boys) tidak berkaitan langsung dengan pembelian diesel atau petrol di pasaran gelap.

Kejayaan mereka bergantung kepada penjimatan dan penghapusan pembaziran kerana mereka tidak menerima subsidi sebagaimana smallholders. Berapa ramaikah pemilik ladang kelapa sawit besar yang telah didapati bersalah membeli diesel di pasaran gelap?

Pihak ketiga yang disyaki sebagai penyebab utama kehabisan diesel di stesen-stesen minyak adalah penyeludup. Sindiket penyeludupan yang mendalangi aktiviti pengumpulan sebenarnya menyeludup hampir kesemua jenis barangan yang disenaraikan dalam kawalan harga dan bekalan termasuklah diesel dan petrol.

Laporan tahunan Kastam dan Eksais menunjukkan penyeludup membawa keluar barang- barang perlu ke Selatan Filipina (Sulu, Taganak dan Selatan Palawan), ke Tarakan and Kalimantan Barat (dari Sarawak) kecuali sayur-sayuran atau buah-buahan tempatan yang harganya rendah. Sekiranya penyeludup-penyeludup adalah penyebab utama krisis kenapa hanya diesel yang berulang-ulang habis dibeli dari gas stesen?

Soalan yang relevan ditanya oleh YB kita, menteri berkaitan dan orang ramai adalah, apakah punca akar umbi aktiviti penyeludupan bukan kenapa ianya sudah berleluasa sekarang? Penyeludup adalah ahli perniagaan yang menanggung risiko tinggi kerana mereka mengelak pembayaran cukai dan undang-undang yang menyekat jualbeli barangan yang ada pembelinya di sempadan atau di dalam Sabah dan Sarawak.

Aktiviti penyeludupan

Apabila kerajaan campurtangan dalam pasaran barangan perlu menggunakan wang pembayar cukai mengsubsidikan diesel dan petrol serta memaksa pengeluar menjual barangan perlu di bawah harga pasaran yang akan merendahkan harga barangan seperti petrol secara palsu (artificial).
Harga rendah menyebabkan pengguna menambah permintaan hanya dalam jangka pendek untuk barangan perlu makanan (mudah rosak) tetapi akan berlarutan untuk barangan tahan lama seperti diesel, petrol, bahan pembinaan dan sebagainya.

Kewujudan penawaran lebihan dalam stok selepas perayaan dan harga yang rendah memberikan insentif kepada aktiviti penyeludupan. Masyarakat di Taganak dan Pulau Penyu (Filipina), di Tarakan, di Pulau Mangse dan Balabak, Palawan akan membeli barangan yang diseludup dari Malaysia kerana ianya lebih murah.

Barangan yang diimport (melalui barter trading hanya dari Tawau dan Sandakan) bukan sahaja sangat mahal tetapi lambat sampai kerana kerenah birokratik. Membenarkan pasaran bebas untuk diesel dan barangan perlu yang lain akan mengurangkan garis keuntungan penyeludupan. Kita juga boleh menjimatkan kos penguatkuasaan. Mana lebih baik, kita guna wang pembayar cukai untuk membantu pengeluar barangan perlu tempatan supaya mereka lebih produktif atau menjadikan penyeludup kaya raya?

Permintaan terhadap beras, minyak masak, gula akan bertambah hanya pada musim perayaan kerana peningkatan penggunaan sementara. Ternyata pembaziran nampaknya berleluasa semasa musim perayaan. Kenapa? Adakah pengguna lupa akan suruhan agama untuk bersederhana semasa Ramadan? Apabila permintaan meningkat, barangan menjadikan kuantitinya terbatas lantas hargapun meningkat.

Para peniaga di Sabah rata-ratanya jujur dan mematuhi halangan kenaikan harga secara paksaan melalui Akta Kawal Harga 1946 (dengan pindaan 1973). Mereka menderita kerana harga yang ditentukan oleh kementerian tidak menambilkira kos pengeluaran. Apabila berlaku kehabisan barangan, ahli peniaga runcit akan menjadi mangsa maki hamun oleh pengguna yang marah bukannya polis harga atau menteri.

Tanpa kawalan harga dan subsidi kepada diesel, pengguna akan menggurangkan permintaan (kurang guna atau beli barang ganti) sehinggalah harga turun. Tanpa Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mengenakan import kuota, pengeluar boleh mengimport berdasarkan keperluan pasaran. Buat masa ini, pengeluaran permit untuk mengimport bahan- bahan perlu adalah ditentukan oleh kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan.

Bagaimanakah kementerian menentukan siapa yang layak dan berapa banyak permit import diberikan sedangkan mereka bukan pengeluar atau terlibat dalam perniagaan barangan perlu tersebut? Walaupun krisis kekurangan diesel dan barangan perlu berulang setiap tahun pada masa yang boleh dijangkakan, kenapa penjual seperti gas stesen tidak bersedia?

Pengumpul minyak bersubsidi ternyata lebih cekap, mereka beli murah sebelum musim perayaan dan jual mahal apabila stesen minyak menggenakan catuan individu dan kehabisan bekalan. Orang ramai yang letih serta muak berbaris atau sudah geram atau cemas akan mencari pasaran gelap. Kenapa stesen minyak tidak bersedia?

Menteri silih berganti

Sebab kementerian menggenakan had bekalan bulanan kepada setiap stesen. Kawalan harga juga menyebabkan garis untung jualan runcit diesel dan petrol tipis, permohonan untuk mendapatkan bekalan tambahan memerlukan kelulusan kementerian (maksudnya lambat). Itu sebabnya gas stesen membuka perniagaan convenient store!

Sekiranya menteri tercabar serta berasa segan akan kegagalan mendahulukan rakyat dan tidak mengutamakan pencapaian, lantas beliau meletakan jawatan, adakah masalah berulang dan meruncing ini akan selesai? Anda tahu jawapannya bukan?

Kita lihat, menteri yang menerajui KPDNKK telah banyak bertukar ganti sejak zaman Dr Mahathir, Pak Lah dan Najib, tetapi masalah kekurangan barangan perlu masih berulang pada masa atau tempat yang berbeza, ia berlaku menjelang musim perayaan, semasa hari-hari biasa dan semasa pencerobohan tentera Sultan Kiram di Lahad Datu.

Satu sahaja cara untuk mengatasinya, kerajaan perlu membebaskan pengguna dan pengeluar dari belenggu serta cengkaman zalim kawalan harga dan bekalan. Pembaziran boleh dikurangkan melalui pasaran bebas, bukannya melalui khutbah politik atau kempen kurangkan pembaziran. Peningkatan penyakit kencing manis di Malaysia boleh diperlahankan sekiranya kerajaan tidak mengawal harga gula.

Hujah yang sama boleh digunapakai untuk kes pencemaran udara dan kesesakan lalulintas khasnya di kawasan bandar di seluruh Malaysia. Harga barangan perlu tidak akan dapat direndah oleh polis harga, atau menteri melawat pasar atas sebab-yang ketara!

Walapun kawalan harga dan bekalan membawa lebih banyak keburukan kepada masyarakat, kenapakah kerajaan hari masih lagi berpegang teguh kepadanya?

James Alin, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah (UMS)
p/s: Nah! Ambik kamu luahan hati orang-orang Sabah berkenaan dengan krisis kehabisan minyak diesel baru-baru ini. Panjang lebar ni laporan so pihak-pihak yang berkenaan jangan duduk diam sahaja jalankan tugas anda dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment