Thursday, July 11, 2013

Universiade: Harimau Muda A Mara Ke Suku Akhir

Daripada Nursyabiha Sukri
KAZAN, (Rusia), 11 Julai (Bernama) -- Skuad Harimau Muda A mara ke suku akhir temasya Sukan Universiti Dunia ke-27 (Universiade 2013) selepas muncul naib juara kumpulan C.

Pada perlawanan ketiga, Great Britain muncul juara kumpulan meskipun tewas kepada Itali 1-0.

Untuk rekod, Great Britain meraih kemenangan percuma pada perlawanan pertama selepas Algeria menarik diri daripada temasya itu dan kemudian menewaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan kedua.

Skuad Harimau Muda A pula meraih kemenangan pertama menentang Itali 2-0 pada perlawanan pertama sebelum diketepikan Great Britain 0-2.

Bagaimanapun, Malaysia menang percuma pada jadual perlawanan ketiga Rabu dengan ketiadaan Algeria.

Pada perlawanan suku akhir Jumaat ini, Malaysia akan berdepan dengan juara bertahan Jepun di Stadium Trudovye Rezervy di sini pada pukul 5 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

Jurulatih pasukan, Ong Kim Swee berkata kejayaan anak buahnya mara keperingkat suku akhir adalah sejarah terbesar negara dalam temasya Universiade.

"Ini merupakan kejayaan terbesar skuad bola sepak universiti negara. Buat pertama kali kita layak ke peringkat suku akhir bagi temasya Universiade kali ini, sudah pasti ia adalah kejayaan besar pasukan.

"Satu pujian buat skuad bola sepak universiti negara kerana pemain yang ada di sini bukan semuanya daripada pemain untuk Sukan SEA. Pemain kita juga tiada masalah keserasian ketika beraksi di atas padang," katanya kepada pemberita.

"Saya berharap pemain dapat mempamerkan aksi bertenaga ketika menentang Jepun nanti kerana mereka adalah juara bertahan dan pasti perlawanan nanti lebih mencabar," katanya.

-- BERNAMA 

p/s: Nasiblah. Tahniah buat skuad Harimau Muda kerana layak ke suku akhir buat kali pertama ke temasya Universiade. Yakin Boleh. Malaysia Boleh!

No comments:

Post a Comment