Sunday, July 14, 2013

Tindakan Alvin, Vivian Melampau - Robert Phang


KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Pengerusi Social Care Foundation Tan Sri Robert Phang Miow menyifatkan tindakan pasangan Tan Jye Yee (Alvin), 25 dan Vivian Lee, 24, yang memuat naik gambar hidangan dan kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook kelmarin, adalah melampau.

Phang yang ditemui di Balai Polis Jalan Tun Razak, hari ini, berkata tindakan itu telah menyinggung perasaan ramai umat Islam yang kini sedang menjalankan ibadah puasa.

"Ia bukan perkara yang sihat. Kita patut menghentikan tindakan ini dan tidak membiarkan ia berlaku," katanya.

Pasangan itu yang pernah mencetuskan kontroversi video lucah mereka di Singapura sebelum ini, telah memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh di Facebook, Jumaat lalu sambil menulis kapsyen "Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)...wangi, enak dan menyelerakan, serta meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Robert Phang Miow ditemui selepas membuat laporan polis berhubung tindakan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dikatakan mempertikai titah Sultan Johor melantik Datuk Tee Siew Kiong sebagai anggota Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, dua pertubuhan bukan kerajaan, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap pasangan kontroversi itu.

Presiden IRIMM Amir Amsaa Alla Pitchay berkata perbuatan pasangan itu yang memuat naik gambar yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman Facebook adalah amat biadab dan tidak menghormati agama lain.

"Perkara ini menimbulkan kemarahan kepada seluruh umat Islam di negara ini kerana mempersenda bulan Ramadan dan seolah-olah Jakim menghalalkan hidangan itu. Ia boleh menjejaskan keharmonian negara dan menimbulkan sensitiviti agama lain.

"Kami menggesa pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan sewajarnya.

Walaupun kini mereka berada di Singapura, kami berharap kerajaan di sana turut mengambil tindakan kepada pasangan itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan hari ini.

-- BERNAMA

p/s: Pasangan ini kembali lagi dengan kontreversi yang agak bikin panas juga. Macam sengaja cari penyakit nie. 'Free-free' ni pasangan kena kutuk silap-silap masuk jail nanti.

No comments:

Post a Comment