Sunday, July 14, 2013

SESB minta pengguna manfaatkan talian info plus: Ahmad Fuad

TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini meminta pengguna memanfaatkan talian info plus yang disediakan untuk mendapatkan maklumat mengenai sebarang gangguan atau permasalahan lain mengenai bekalan elektrik di negeri ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Ahmad Fuad Md Kasim berkata pengguna hanya perlu mendaftarkan nombor telefon mereka atau nombor akaun kepada SESB.

“Kita ada kemudahan ini, iaitu segala maklumat akan terus boleh diketahui melalui telefon, contohnya mengenai gangguan bekalan, penutupan berjadual atau selenggaraan,’’katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan taklimat mengenai keperluan dan kekangan bekalan elektrik di negeri ini kepada Timbalan Menteri Pendidikan Satu, Datuk Mary Yap Kain Ching di Pejabat SESB di sini kelmarin.

Menurutnya, pendaftaran itu boleh dilakukan dengan menghubungi nombor 15454 atau terus pergi ke pejabat-pejabat SESB dengan hanya menyatakan nama, alamat atau nombor akaun dan telefon.

Sementara itu, beliau memberitahu SESB menghadapi kekangan dari segi penjanaan elektrik berikutan permintaan yang tinggi daripada pengguna dan masalah gangguan elektrik.

“Kita menghadapi permintaan yang tinggi iaitu mengikut rekod yang dicatatkan pada 27 Mac lepas kita mencatatkan 866.6 megawatt (mw) berbanding 830 mw pada September 2012.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 30 mw dan besar kerana ia melibatkan penggunaan 30 ribu pengguna jika pengguna ambil 1 kilowatt atau 1/3 daripada daerah ini,’’ katanya.

Namun jelasnya, pihaknya telah mengambil langkah jangka pendek dalam mengatasi masalah berkenaan iaitu telah membuat pemindahan loji janakuasa di Stesen Janakuasa Kabota.

“Bagi jangka panjang kita ada dua loji janakuasa yang sedang dalam pembinaan di Kimanis Power dan SPR yang boleh membekalkan 300 mw dan satu lagi 100 mw,’’ katanya.

Bagi permasalahan gangguan bekalan elektrik pula katanya, banyak faktor yang menyebabkan gangguan berkenaan berlaku antaranya faktor cuaca, binatang dan vandalisme yang khasnya melibatkan penyambungan haram.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti melalui potensi-potensi tenaga hijau contohnya pembinaan loji hidroelektrik di Bangi yang sedang dalam peringkat kajian teknikal.

“Kita juga ada rancangan untuk mewujudkan penggunaan tenaga geotermal di daerah ini, iaitu kita telah mengenalpasti satu kawah air panas untuk membekalkan kemudahan elektrik yang boleh menyumbang 30 mw,’’ katanya lagi.


p/s: Eh, Call eh kalau ada problem.

No comments:

Post a Comment