Isu kekurangan diesel dan barangan keperluan
Krisis
minyak diesel yang menjadi kronik minggu lepas nampaknya sudah semakin
reda di Sabah tetapi baru bermula di Sarawak. Barisan panjang menunggu
giliran isi minyak oleh kenderaan berat, pengangkutan awam, bas sekolah
dan kenderaan pacuan empat roda sudah berkurangan di kebanyakan stesen
minyak di sekitar bandar utama di Sabah.
Mungkin krisis diesel
akan reda tetapi orang Sabah masih marah kerana ini bukannya pertama
kali krisis kekurangan atau kehabisan barangan perlu pernah berlaku.
Sebelum
kita membincangkan penyebab utama dan cara - satu cara sahaja -
mengatasinya, kita lihat dulu sebab-sebab mengapa orang Sabah masih
marah dan "girigitan" dengan kerajaan BN. Pertama, BN telah mungkir
janjinya untuk mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.
Orang
Sabah "girigitan" - perkataan Sabah yang bermaksud marah, kecewa, sakit
hati tetapi tidak dapat berbuat apa-apa - kerana Menteri Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berdolak dalik
dan menafikan ada kekurangan diesel.
Rakyat Sabah belum dan
tidak akan lupa kerana krisis kekurangan barangan keperluan telah
berlaku berulang kali, malahan telah menjadi semakin parah sejak
kebelakangan ini. Krisis kehabisan simen, besi dan barangan perlu sektor
pembinaan yang menyebabkan projek-projek pembinaan di Lembah Kelang
tergendala pada 1995-1996.
Kekurangan minyak diesel dan petrol,
minyak masak, gula, tepung, daging ayam dan telur dan pelbagai barangan
perlu lain juga pernah melanda seluruh negara semasa pentadbiran Pak
Lah. Rakyat Sabah boleh menjangka bahawa kekurangan barangan perlu akan
melanda lagi menjelang perayaan-perayaan yang akan datang.
Kemarahan
orang Sabah telah disuarakan oleh wakil rakyat yang mereka pilih. YB
Darrell Leiking berpendapat stesen-stesen minyak di Sabah seringkali
habis sebab Sabah mempunyai banyak pacuan empat roda akibat keadaan
jalan yang buruk (teruk).
Sementara itu YB Hiew, YB Jimmy Wong
dan YB Au menyatakan kebimbangan mereka terhadap dakwaanberleluasanya
masalah sindiket pasaran gelap di mana peniaga tamak haloba membeli dan
mengumpul minyak diesel bersubsidi untuk dijual semula kepada industri
yang tidak jujur.
Jalan raya berlubang
Sementara
itu, YB Chin Su Phin mencabar menteri perdagangan dalam negeri,
koperasi dan kepenggunaan untuk meletakkan (jawatan) sekiranya tidak
berupaya menyelesaikan masalah tersebut. Beliau menyatakan rasa kesal
kerana kementerian tidak dapat menyelesaikan punca akar umbi krisis
diesel yakni penyeludupan ke negara jiran.
Seperti juga YB lain,
beliau mempersoalkan mengapa negeri pengeluar petroleum utama mengalami
kekurangan diesel. YB Jeffrey pula menegaskan masalah penyeludupan
diesel membuktikan bahawa ESSCOM (sebenarnya ESSZONE atau Zon
Keselamatan Pantai Timur Sabah) tidak efektif.
Beliau juga
berpendapat bahawa langkah "piece-meal patchwork" seperti pengumuman
menambah bekalan 8 juta liter diesel tidak akan menyelesaikan masalah
pada masa panjang.
Kalau jalan raya di bandar pun sentiasa
berlubang (dan sentiasa ada kontraktor tutup lubang siang hari malam)
apatah lagi di luar bandar. Orang miskin dari kampung memang bergantung
kepada kenderaan awam (termasuk teksi dan bas sapu) berenjin diesel.
Yang berpendapatan tetap pula boleh berhutang bank menyewa beli
kenderaan pacuan empat roda.
Hakikatnya adalah sebahagian besar
pemilik four wheels sebenarnya adalah orang kaya yang memiliki four
wheels untuk simbol status. Memandu kereta besar menambah super-ego jadi
pemandu four wheels selalu bermaharaja lela di jalan raya (biasanya
mereka biadap suka memotong queue dari kiri).
Mungkin jumlah
four wheels dan kenderaan berenjin diesel di Sabah lebih banyak telah
meningkatkan permintaan diesel. Tetapi adakah ianya penyebab utama
krisis -stesen minyak kehabisan diesel (dua kali kronik dalam bulan
Julai)? Mungkin tidak. Kenapa krisis diesel sentiasa berulang menjelang
musim-musim perayaan?
Bagaimana dengan masa bukan perayaan dan
selepas bekalan diesel tambahan sampai ke stesen-stesen minyak, ke mana
perginya kesemua kenderaan berenjin diesel tersebut? Kalau dakwaan itu
benar, kenapa kita tidak kehabisan diesel sepanjang tahun walhal
kenderaan berenjin diesel sentiasa ada (lebih-lebih lagi masa peak
pelancongan)?
Bagaimana pula krisis habis diesel yang juga
sedang melanda Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Melaka dan
kawasan lain di Malaysia? Jumlah four wheels perkapita di Australia dan
Amerika Syarikat ratusan kali ganda lebih tinggi berbanding dengan
jumlah di Sabah tetapi stesen minyak di sana tidak mengalami kekurangan
apatah lagi kehabisan diesel berulang kali.
Tamak haloba
Peniaga
yang tamak haloba memang wujud, tetapi kenapa hanya beli-jual diesel?
Bagaimana dengan petrol bersubsidi? Sindiket pengumpul pasti beli-kumpul
dan jual balik petrol, soalnya kenapa diesel dulu berkurang dan habis?
Sebenarnya, pengumpul minyak bersubsidi beroperasi sama seperti peniaga
lain, mereka juga membayar kos kendali.
Tolak kos ubahsuai
tangki, upah kelindan, kos rasuah sekiranya ter(di) tangkap, kos
pengangkutan dan kos storage, maka "profit margin" mereka tidak setinggi
seperti "kiraan atas sampul surat" YB Hiew.
Penjual tidak akan
wujud tanpa pembeli. Pembeli utama adalah smallhoders kelapa sawit yang
terpencil, lebih murah beli dari pengumpul daripada mereka sendiri
keluar ke bandar. Pembeli kedua yang sering menjadi mangsa tuduhan yang
dikatakan bersalah (sebelum dibicarakan dan tanpa bukti) diajukan oleh
kementerian dan YB-YB (kerajaan atau pembangkang) adalah pihak industri
sektor pelancongan, pembinaan, perladangan dan perikanan yang banyak
menggunakan diesel.
Firma-firma ini dikatakan menggurangkan kos
(minyak adalah komponen kos kedua besar selepas buruh) dengan membeli
minyak bersubsidi. Kebanyakan firma disyaki membeli dari pasaran gelap,
mereka yang jujur membeli harga industri tidak dapat bersaing dalam
pasaran. Kajian-kajian mendapati bahawa penjimatan kos pengeluaran oleh
syarikat-syarikat kelapa sawit yang besar (big boys) tidak berkaitan
langsung dengan pembelian diesel atau petrol di pasaran gelap.
Kejayaan
mereka bergantung kepada penjimatan dan penghapusan pembaziran kerana
mereka tidak menerima subsidi sebagaimana smallholders. Berapa ramaikah
pemilik ladang kelapa sawit besar yang telah didapati bersalah membeli
diesel di pasaran gelap?
Pihak ketiga yang disyaki sebagai
penyebab utama kehabisan diesel di stesen-stesen minyak adalah
penyeludup. Sindiket penyeludupan yang mendalangi aktiviti pengumpulan
sebenarnya menyeludup hampir kesemua jenis barangan yang disenaraikan
dalam kawalan harga dan bekalan termasuklah diesel dan petrol.
Laporan
tahunan Kastam dan Eksais menunjukkan penyeludup membawa keluar barang-
barang perlu ke Selatan Filipina (Sulu, Taganak dan Selatan Palawan),
ke Tarakan and Kalimantan Barat (dari Sarawak) kecuali sayur-sayuran
atau buah-buahan tempatan yang harganya rendah. Sekiranya
penyeludup-penyeludup adalah penyebab utama krisis kenapa hanya diesel
yang berulang-ulang habis dibeli dari gas stesen?
Soalan yang
relevan ditanya oleh YB kita, menteri berkaitan dan orang ramai adalah,
apakah punca akar umbi aktiviti penyeludupan bukan kenapa ianya sudah
berleluasa sekarang? Penyeludup adalah ahli perniagaan yang menanggung
risiko tinggi kerana mereka mengelak pembayaran cukai dan undang-undang
yang menyekat jualbeli barangan yang ada pembelinya di sempadan atau di
dalam Sabah dan Sarawak.
Aktiviti penyeludupan
Apabila
kerajaan campurtangan dalam pasaran barangan perlu menggunakan wang
pembayar cukai mengsubsidikan diesel dan petrol serta memaksa pengeluar
menjual barangan perlu di bawah harga pasaran yang akan merendahkan
harga barangan seperti petrol secara palsu (artificial).
Harga
rendah menyebabkan pengguna menambah permintaan hanya dalam jangka
pendek untuk barangan perlu makanan (mudah rosak) tetapi akan berlarutan
untuk barangan tahan lama seperti diesel, petrol, bahan pembinaan dan
sebagainya.
Kewujudan penawaran lebihan dalam stok selepas
perayaan dan harga yang rendah memberikan insentif kepada aktiviti
penyeludupan. Masyarakat di Taganak dan Pulau Penyu (Filipina), di
Tarakan, di Pulau Mangse dan Balabak, Palawan akan membeli barangan yang
diseludup dari Malaysia kerana ianya lebih murah.
Barangan yang
diimport (melalui barter trading hanya dari Tawau dan Sandakan) bukan
sahaja sangat mahal tetapi lambat sampai kerana kerenah birokratik.
Membenarkan pasaran bebas untuk diesel dan barangan perlu yang lain akan
mengurangkan garis keuntungan penyeludupan. Kita juga boleh menjimatkan
kos penguatkuasaan. Mana lebih baik, kita guna wang pembayar cukai
untuk membantu pengeluar barangan perlu tempatan supaya mereka lebih
produktif atau menjadikan penyeludup kaya raya?
Permintaan
terhadap beras, minyak masak, gula akan bertambah hanya pada musim
perayaan kerana peningkatan penggunaan sementara. Ternyata pembaziran
nampaknya berleluasa semasa musim perayaan. Kenapa? Adakah pengguna lupa
akan suruhan agama untuk bersederhana semasa Ramadan? Apabila
permintaan meningkat, barangan menjadikan kuantitinya terbatas lantas
hargapun meningkat.
Para peniaga di Sabah rata-ratanya jujur dan
mematuhi halangan kenaikan harga secara paksaan melalui Akta Kawal
Harga 1946 (dengan pindaan 1973). Mereka menderita kerana harga yang
ditentukan oleh kementerian tidak menambilkira kos pengeluaran. Apabila
berlaku kehabisan barangan, ahli peniaga runcit akan menjadi mangsa maki
hamun oleh pengguna yang marah bukannya polis harga atau menteri.
Tanpa
kawalan harga dan subsidi kepada diesel, pengguna akan menggurangkan
permintaan (kurang guna atau beli barang ganti) sehinggalah harga turun.
Tanpa Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mengenakan import kuota, pengeluar
boleh mengimport berdasarkan keperluan pasaran. Buat masa ini,
pengeluaran permit untuk mengimport bahan- bahan perlu adalah ditentukan
oleh kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan.
Bagaimanakah
kementerian menentukan siapa yang layak dan berapa banyak permit import
diberikan sedangkan mereka bukan pengeluar atau terlibat dalam
perniagaan barangan perlu tersebut? Walaupun krisis kekurangan diesel
dan barangan perlu berulang setiap tahun pada masa yang boleh
dijangkakan, kenapa penjual seperti gas stesen tidak bersedia?
Pengumpul
minyak bersubsidi ternyata lebih cekap, mereka beli murah sebelum musim
perayaan dan jual mahal apabila stesen minyak menggenakan catuan
individu dan kehabisan bekalan. Orang ramai yang letih serta muak
berbaris atau sudah geram atau cemas akan mencari pasaran gelap. Kenapa
stesen minyak tidak bersedia?
Menteri silih berganti
Sebab
kementerian menggenakan had bekalan bulanan kepada setiap stesen.
Kawalan harga juga menyebabkan garis untung jualan runcit diesel dan
petrol tipis, permohonan untuk mendapatkan bekalan tambahan memerlukan
kelulusan kementerian (maksudnya lambat). Itu sebabnya gas stesen
membuka perniagaan convenient store!
Sekiranya menteri tercabar
serta berasa segan akan kegagalan mendahulukan rakyat dan tidak
mengutamakan pencapaian, lantas beliau meletakan jawatan, adakah masalah
berulang dan meruncing ini akan selesai? Anda tahu jawapannya bukan?
Kita
lihat, menteri yang menerajui KPDNKK telah banyak bertukar ganti sejak
zaman Dr Mahathir, Pak Lah dan Najib, tetapi masalah kekurangan barangan
perlu masih berulang pada masa atau tempat yang berbeza, ia berlaku
menjelang musim perayaan, semasa hari-hari biasa dan semasa pencerobohan
tentera Sultan Kiram di Lahad Datu.
Satu sahaja cara untuk
mengatasinya, kerajaan perlu membebaskan pengguna dan pengeluar dari
belenggu serta cengkaman zalim kawalan harga dan bekalan. Pembaziran
boleh dikurangkan melalui pasaran bebas, bukannya melalui khutbah
politik atau kempen kurangkan pembaziran. Peningkatan penyakit kencing
manis di Malaysia boleh diperlahankan sekiranya kerajaan tidak mengawal
harga gula.
Hujah yang sama boleh digunapakai untuk kes
pencemaran udara dan kesesakan lalulintas khasnya di kawasan bandar di
seluruh Malaysia. Harga barangan perlu tidak akan dapat direndah oleh
polis harga, atau menteri melawat pasar atas sebab-yang ketara!
Walapun
kawalan harga dan bekalan membawa lebih banyak keburukan kepada
masyarakat, kenapakah kerajaan hari masih lagi berpegang teguh
kepadanya?
James Alin, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah (UMS)
p/s: Nah! Ambik kamu luahan hati orang-orang Sabah berkenaan dengan krisis kehabisan minyak diesel baru-baru ini. Panjang lebar ni laporan so pihak-pihak yang berkenaan jangan duduk diam sahaja jalankan tugas anda dengan jayanya.