Monday, August 17, 2015

Kibarkan Jalur Gemilang - Salleh

 KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak menyarankan agar semua rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja mereka berada bagi menunjukkan semangat cinta kepada negara terutama sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

"Kalau di tempat (negara) lain ada yang bermatian-matian menuntut sebuah negara, dan kita di Malaysia ini bertuah, sudah merdeka. Ini perlu dihargai," katanya ketika berucap pada majlis mesra Menteri Komunikasi dan Multimedia di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini hari ini.

Salleh berkata tema sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini iaitu 'Sehati Sejiwa' adalah bertepatan untuk semua pihak bersama-sama mengelakkan perbalahan, selisih faham dan fitnah demi kesejahteraan negara.

Sementara itu, beliau meminta semua jabatan dan agensi di bawah kementeriannya di Sabah agar menyemak semula program masing-masing agar pelaksanaannya bersesuaian dengan keadaan dan tempat.

"Kita sebuah negeri yang agak besar dan kadangkala kita berbeza dengan pendekatan di semenanjung Malaysia. Kita kena pastikan agar program-program itu bersesuaian dengan keadaan setempat," katanya.

Sebagai contoh katanya pendekatan penyampaian maklumat dan dasar kerajaan di kawasan luar bandar adalah berbeza dengan tempat lain bagi memastikan ia benar-benar difahami golongan sasar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment