Friday, August 21, 2015

Produk Kraftangan Sumber Jana Pendapatan


SANDAKAN, 21 Ogos (Bernama) -- Produk kraftangan yang dijual di Pasar Umum di sini ternyata menjadi sumber bagi menjana pendapatan para peniaga apabila produk jualan mereka sering mendapat perhatian pelanggan termasuk pelancong.

Hasil kraftangan yang dijual di tingkat dua pasar yang terletak di tengah-tengah bandar Sandakan itu termasuk aksesori kecantikan, perhiasan diri dan cenderamata.

Seorang peniaga, Sunarti Nakib, 37, berkata beliau mula menceburi bidang perniagaan kraftangan sejak tujuh tahun lalu selepas menyedari bidang itu sesuai dengan dirinya.

"Saya menjual kraftangan di pasar ini setiap hari sejak enam tahun lepas untuk mencari punca pendapatan dan ternyata ianya berbaloi," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata beliau memulakan perniagaan dengan bermodalkan RM1,000 yang diberikan oleh bapanya, dan kini, beliau mampu meraih keuntungan berlipat ganda.

Sunarti yang menjual barang perhiasan seperti gelang, kerongsang dan jam tangan berkata sambutan yang diterima daripada pengunjung Pasar Umum itu amat menggalakkan terutamanya pada musim perayaan dan cuti sekolah.

Merrily Farouk, 24, pembantu kedai milik ibu saudaranya berkata hasil kraftangan yang dijual seperti gelang dan kerongsang yang diperbuat daripada kristal dan mutiara merupakan sumber pendapatan utama ibu saudaranya.

Katanya, ibu saudaranya yang berniaga kraftangan hampir 20 tahun lalu turut memiliki pelanggan tetap terdiri daripada pelancong khususnya dari Semenanjung Malaysia.

"Pelanggan tetap kami akan membuat tempahan melalui telefon atau aplikasi WhatsApp jika ingin membeli kraftangan secara borong dan kami akan menghantar melalui pos," katanya.

Merrily berkata setiap produknya turut diberikan nama bagi menarik lagi minat pelanggan untuk membeli seperti Gelang SS Single, Gelang Lipan, Gelang Double, Staway dan Tabuli.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment