Wednesday, August 19, 2015

Polis Kesan 109 Pemilik Nombor Telefon Dalam Siasatan Pencerobohan Lahad Datu - Saksi

KOTA KINABALU, 19 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa polis mengesan 109 pemilik berdaftar nombor telefon bimbit bagi membantu siasatan kes pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 2013.

DSP Rosdi Mat Jusoh dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu berkata beliau menubuhkan sebuah pasukan pengesan setelah diarahkan oleh Supt Shahrul Ali Marzuki untuk mengesan individu berkenaan.

Shahrul Ali telah diberi tugas untuk mengendalikan aspek teknikal dalam siasatan itu, katanya pada perbicaraan 30 individu yang menghadapi pelbagai pertuduhan berhubung pencerobohan bersenjata oleh lelaki Sulu di Kampung Tanduo pada Februari 2013.

Rosdi berkata pemilik nombor telefon itu adalah dari 14 daerah di Sabah dan lebih separuh daripada mereka adalah dari daerah di pantai timur negeri ini.

"Saya telah meminta ketua-ketua bahagian siasatan jenayah daerah di setiap daerah menubuhkan pasukan pengesanan untuk menjalankan usaha mengesan pemilik berdaftar nombor telefon bimbit tersebut," katanya.

Rosdi berkata beliau memberi tempoh tiga hari bermula 14 Julai tahun lepas kepada pasukan itu untuk mengesan individu berkenaan.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung Khamis.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment