Monday, August 17, 2015

Isu penduduk tempatan tiada kad pengenalan perlu diatasi: Shafie


SEMPORNA: Isu penduduk tempatan yang masih tidak memiliki kad pengenalan ekoran masalah yang dihadapi perlu diselesaikan bagi mengatasi masalah keciciran dalam pendidikan, kata Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurutnya, isu berkenaan perlu diurus tabir dengan baik, teliti dan amanah serta penuh tanggungjawab oleh agensi berkaitan bagi membolehkan hanya penduduk tempatan yang layak dan berhak menerimanya dan tidak membabitkan pendatang asing.

Jelasnya, ketiadaan kad pengenalan anak-anak penduduk tempatan khasnya di kawasan pulau-pulau menjejaskan usaha menghantar mereka ke sekolah yang akhirnya menyebabkan tercicir peluang mendapatkan ilmu dan pendidikan formal di sekolah.

“Kalau anak tidak dihantar ke sekolah mereka tidak ada pelajaran dan akhirnya menjadi penganggur dalam rumah dan kampung kerana tidak ada kerja, susah mencari kerja akibatnya akan menjadi masalah bukan sahaja kepada masyarakat, daerah tetapi juga negara,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pulau Larapan di sini kelmarin yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong.

Mengulas lanjut, beliau menyeru agar wakil rakyat di kawasan terlibat mengadakan program turun padang bersama Jabatan Pendaftaran di kawasan dikenal pasti dan tidak melibatkan penduduk luar yang tidak dikenali.

“Adakan program bersepadu dengan Jabatan Pendaftaran tetapi jangan libatkan penduduk luar hanya penduduk tempatan yang dikenal pasti berhak, jawatankuasa kemajuan kampung (JKKK) tahu siapa penduduk tempatan, orang lain tak boleh tipu.

“Kerana kita hanya mahu penduduk kampung yang layak sahaja jangan pula pendatang asing mendapat kad pengenalan kerana sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak dan penduduk tempatan pula tidak dapat,”katanya.

No comments:

Post a Comment