Wednesday, August 19, 2015

Peniaga Diberi Tempoh Hingga 24 Ogos Kemuka Penyata GST: KP Kastam

KOTA KINABALU, 19 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melanjutkan tarikh akhir penghantaran penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 03 atau GST-03 sehingga 24 Ogos ini bagi tempoh bercukai tiga bulan (antara 1 April hingga 30 Jun).

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata tempoh penyerahan penyata GST itu yang sepatutnya berakhir pada Jumaat lepas, dilanjutkan bagi memberi peluang kepada peniaga yang berdaftar di bawah GST, yang mungkin bermasalah untuk menghantar penyata GST mereka.

"Di dalam sistem GST ini, mereka yang mempunyai (pendapatan) perniagaan lebih daripada RM5 juta perlu mengemukakan penyata setiap bulan tetapi peniaga yang kurang RM5 juta, adalah setiap tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam SeMalaysia kali ke-77 di sini Rabu.

Beliau berkata, syarikat yang telah mendaftar tetapi tidak mempunyai hasil pendapatan juga perlu menghantar penyata GST sebagai makluman kepada JKDM.

Khazali berkata pegawai kastam sentiasa bersedia membantu sekiranya peniaga-peniaga itu mempunyai masalah untuk menghantar penyata GST mereka.

Mengenai mesyuarat itu, beliau berkata beberapa perancangan yang baharu akan dilaksanakan khususnya berkaitan dengan pelaksanaan GST yang bermula April lepas.

"Kita juga gunakan mesyuarat ini untuk membincangkan perancangan dari segi operasi bagi memastikan segala aktiviti penyeludupan boleh dibendung," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment