Monday, August 17, 2015

Mahkamah: Pegawai Perisik Terima 112 Barang Kes Berkaitan Pencerobohan Lahad Datu

KOTA KINABALU, 17 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa seorang pegawai perisik polis menerima 112 barang kes yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan kumpulan lelaki Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

ASP Mohd Zunaidi Junoh berkata barang kes itu diserahkan kepadanya oleh pegawai forensik polis, DSP Zuraimi Zam Zam pada 8 Mac 2013 selepas menjalankan pemeriksaan forensik terhadap barang berkenaan.

Katanya, barang berkenaan ialah senjata api, peluru, pisau, pakaian dan lambang pasukan dikenali sebagai Tentera Sulu, yang dirampas satu pasukan daripada Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am.

Turut diserahkan kepadanya bersama 112 barang kes itu ialah dua bekas lutsinar, satu daripadanya mengandungi 33 lidi pencalit DNA dan satu lagi mengandungi enam lidi pencalit kesan tembakan senjata api (GSR), katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan tersebut pada Februari 2013.

Mohd Zunaidi memberitahu mahkamah bahawa barang kes itu diserahkan kepadanya di Pangkalan Polis Marin Lahad Datu pada kira-kira 8.40 malam.

Katanya, lebih kurang 10 minit selepas menerima barang itu daripada Zuraimi, beliau menyerahkannya kepada Sarjan Aiyaman Abd Mutalib, penjaga stor barang kes di ibu pejabat polis Lahad Datu.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan, termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment