Monday, March 14, 2011

Juara Lagu Sabah VFM - Da Prinz

KUMPULAN Da’ Prinz yang mendendangkan lagu “Ada Hivai Dandi Toh” (Jangan Lupa Janji Kita) muncul juara pertandingan Lagu-Lagu Popular Kadazan Dalam Carta Sabah V fm 2009/2010. Dengan kemenangan itu, Kumpulan Da’ Prinz menerima hadiah wang tunai RM2,000, piala dan sijil. Manakala pemenang bagi kategori lagu popular menerusi undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pula dimenangi oleh Hilary Petrus dengan lagu “Hangaad Poompus”. Bagi persembahan terbaik, dimenangi Esther Clement Tubong dan Rose Disuil dipilih sebagai pemenang vokal terbaik.

Pencipta Lagu Terbaik dimenangi oleh Ambrose Mudi “Ada Hiivai Dandi Toh” dan Penulis Lirik Terbaik dimenangi oleh Christina Lonjutan menerusi lagu “Vosion Tokou Ginawo” yang didendangkan Rose Disuil. Kesemua hadiah itu disampaikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok. Antara objektif pertandingan itu ialah memartabatkan lagu-lagu Kadazan, menghargai dan mengiktiraf usaha para penyanyi Kadazan agar mereka lebih berusaha untuk memajukan industri muzik di negeri ini dan dapat berkembang setaraf dengan penyanyi-penyanyi di peringkat kebangsaan. Selain itu ia juga bertujuan untuk memperkenalkan bakat-bakat penyanyi Kadazan, mewujudkan persaingan sihat di kalangan mereka dan sebagai jalinan hubungan mesra di kalangan pendengar radio RTM khususnya Sabah V fm Siaran Bahasa Kadazan sekaligus mengeratkan lagi hubungan baik sedia ada.

Pertandingan Akhir Lagu-Lagu Popular Kadazan Dalam Carta Sabah V fm 2009/ 2010 merupakan kali ketiga dianjurkan, hasil daripada Rancangan Hozou Kaanangan Minggu Diti (Lagu Popular Minggu Ini), siaran Kadazan Sabah V fm, RTM Kota Kinabalu. Rancangan ini merupakan rancangan paling popular dan mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada para pendengar seluruh Sabah. Ia diterbitkan dan disiarkan setiap Sabtu pukul 2 petang selama satu jam.Dalam rancangan Lagu-Lagu Popular Minggu Ini, penerbit mencalonkan 10 buah lagu Kadazan yang terbaik dan popular.Juara lagu mingguan ditentukan melalui undian peminat dan pendengar di mana penjumlahan undi dibuat pada setiap pagi hari Sabtu.

Diharapkan dengan penganjuran pertandingan seumpama ini akan menjadi pendorong kepada artis-artis tempatan untuk terus berjuang dalam bidang seni suara di Sabah dan menghasilkan lagu-lagu terbaik. Peserta akhir pertandingan itu ialah Hilary Petrus ‘Hangaad Poompus’, Alfred Koroh ‘Zi Ina Koupusan Ku’, Rose Disuil ‘Vosion Tokou Ginawo’, Marcellus Jolis ‘Hozou Piginavaan Toh’, Johnny Bonis ‘Hangadon Zou Diau’, Jovita Robert Johnny ‘Mohoing Tondu’, Da’ Prinz ‘Ada Hiivai Dandi Toh’, Kennedy Galaban ‘Aiso Mohon’, Esther Clement Tubong ‘Kokompunganku’ dan Edward Boy ‘Insan Tadau Kopisomo Vagu’.


p.s: Bagus la kalau ada anugerah dan pertandingan macam begini makin memantapkan lagi mutu kualiti lagu-lagu kadazandusun di Sabah dan dapat memartabatkan lagi bahasa kadazandusun. Syabas kepada pemenang-pemenang dan syabas kepada pihak penganjur kerana telah berjaya menganjur pertandingan tersebut.

No comments:

Post a Comment