Monday, August 17, 2015

Musa Berang Aksi Permainan Bola Sepak Sabah Hambar Musim Ini


KOTA KINABALU, 17 Ogos (Bernama) -- 'Pasukan sayur', demikian kata Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Musa Aman yang berang dengan aksi permainan hambar yang ditunjukkan skuad Sabah Rhinos dalam Liga Perdana Malaysia, musim ini.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan prestasi pemain bola sepak Sabah yang disifatkannya sebagai tidak berdaya saing, tidak komited dan kurang ketahanan serta tidak berdisiplin.

"Saya tidak mahu hipokrit. SAFA berbelanja berjuta-juta ringgit untuk pasukan bola sepak negeri ini, tetapi yang mengecewakan mutu permainan bukan meningkat tetapi semakin menurun. "Kenapa pasukan kita tidak boleh menjadi seperti negeri lain kalau mereka boleh menang, kita seharusnya boleh menang jugak," katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Musa Aman 2015, di Klagan Regency Hotel dekat sini, Ahad malam.

Musa berkata, setiap pemain perlu aktif dan menunjukkan komitmen tinggi serta bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan skuad Sabah Rhinos mencapai kemenangan berterusan dan muncul sebagai juara liga.

"Jangan bergantung kepada pemain luar semata-mata, bermain bola perlu kerja perpasukan, kalau separuh sahaja yang bermain dengan bersungguh-sungguh pun tidak menjadi, semua kena aktif baru betul," katanya.

Setelah mengharungi 20 perlawanan, Sabah kini berada pada kedudukan tangga ketujuh dengan pungutan 27 mata. Terbaharu, pada aksi perlawanan menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Sabah gagal memungut mata penuh apabila kalah 4-0.

Sabah bakal bertandang ke Stadium Darul Aman bagi menentang Kedah esok (18 Ogos), sekali gus merupakan perlawanan terakhir Sabah untuk Liga Perdana Malaysia musim ini.

Sementara itu, Musa dalam ucapan beliau berkata tujuan kejohanan bola sepak Piala Datuk Musa Aman itu diadakan adalah untuk mencungkil lebih banyak pemain muda yang berbakat di negeri ini untuk didedahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.

Musa berharap anak-anak muda yang terpilih dapat memanfaatkan peluang sedia ada dan berusaha menjadi pemain yang berdisiplin, berdaya saing dan komited terhadap pasukannya.

Pasukan bola sepak Sandakan muncul juara pada Kejohanan Piala Datuk Musa Aman itu dengan membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan berserta pingat.

Naib juara dan tempat ketiga masing-masing disandang oleh pasukan Tenom dan Tawau yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,500 dan RM4,500 berserta piala dan pingat.

-- BERNAMA

Mahkamah: Pegawai Perisik Terima 112 Barang Kes Berkaitan Pencerobohan Lahad Datu

KOTA KINABALU, 17 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa seorang pegawai perisik polis menerima 112 barang kes yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan kumpulan lelaki Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

ASP Mohd Zunaidi Junoh berkata barang kes itu diserahkan kepadanya oleh pegawai forensik polis, DSP Zuraimi Zam Zam pada 8 Mac 2013 selepas menjalankan pemeriksaan forensik terhadap barang berkenaan.

Katanya, barang berkenaan ialah senjata api, peluru, pisau, pakaian dan lambang pasukan dikenali sebagai Tentera Sulu, yang dirampas satu pasukan daripada Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am.

Turut diserahkan kepadanya bersama 112 barang kes itu ialah dua bekas lutsinar, satu daripadanya mengandungi 33 lidi pencalit DNA dan satu lagi mengandungi enam lidi pencalit kesan tembakan senjata api (GSR), katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan tersebut pada Februari 2013.

Mohd Zunaidi memberitahu mahkamah bahawa barang kes itu diserahkan kepadanya di Pangkalan Polis Marin Lahad Datu pada kira-kira 8.40 malam.

Katanya, lebih kurang 10 minit selepas menerima barang itu daripada Zuraimi, beliau menyerahkannya kepada Sarjan Aiyaman Abd Mutalib, penjaga stor barang kes di ibu pejabat polis Lahad Datu.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan, termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

-- BERNAMA

Siasat Dan Ambil Tindakan Anggota Parti Terlibat Gerakan Guling Kerajaan - Mohd Shafie




SEMPORNA, 16 Ogos (Bernama) -- Siasat dan ambil tindakan terhadap anggota parti yang didakwa terlibat dalam gerakan untuk mengguling kerajaan, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu menyiasat dengan lebih mendalam untuk mengetahui sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

"Sekiranya terbukti ada mana-mana anggota parti yang terlibat dan ia bercanggah dengan undang-undang, maka ia boleh diambil tindakan kerana kita perlu faham dengan sistem demokrasi serta ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pulau Larapan, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, mengenai gerakan menggulingkan kerajaan yang didalangi pembangkang serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerjanya itu, Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata ia bertujuan memastikan agar kemudahan asas di kawasan kampung berkenaan disediakan sebaik mungkin.

"Kita telah melawat beberapa kemudahan asas di kawasan ini (Kampung Pulau Larapan) dan ada beberapa perkara yang perlu dilakukan dalam usaha memastikan kemudahan asas itu sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Kita mencadangkan pihak yang berkaitan seperti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) atau agensi lain dapat memberi latihan kepada golongan belia di kampung berkenaan agar mereka dapat memantau atau menyelesaikan sebarang masalah terhadap kemudahan asas seperti masalah bekalan elektrik atau sistem solar," katanya.

Mohd Shafie berkata memperkasakan belia kampung dengan sebarang kemahiran adalah sangat penting, supaya mereka dapat menyelasaikan masalah kecil di kawasan masing-masing tanpa bergantung kepada bantuan daripada pihak berkenaan yang lazimnya memakan masa.

-- BERNAMA

Kibarkan Jalur Gemilang - Salleh

 KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak menyarankan agar semua rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja mereka berada bagi menunjukkan semangat cinta kepada negara terutama sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

"Kalau di tempat (negara) lain ada yang bermatian-matian menuntut sebuah negara, dan kita di Malaysia ini bertuah, sudah merdeka. Ini perlu dihargai," katanya ketika berucap pada majlis mesra Menteri Komunikasi dan Multimedia di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini hari ini.

Salleh berkata tema sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini iaitu 'Sehati Sejiwa' adalah bertepatan untuk semua pihak bersama-sama mengelakkan perbalahan, selisih faham dan fitnah demi kesejahteraan negara.

Sementara itu, beliau meminta semua jabatan dan agensi di bawah kementeriannya di Sabah agar menyemak semula program masing-masing agar pelaksanaannya bersesuaian dengan keadaan dan tempat.

"Kita sebuah negeri yang agak besar dan kadangkala kita berbeza dengan pendekatan di semenanjung Malaysia. Kita kena pastikan agar program-program itu bersesuaian dengan keadaan setempat," katanya.

Sebagai contoh katanya pendekatan penyampaian maklumat dan dasar kerajaan di kawasan luar bandar adalah berbeza dengan tempat lain bagi memastikan ia benar-benar difahami golongan sasar.

-- BERNAMA

Friday, August 14, 2015

Proton lancar varian saga terbaharu

Proton


PROTON Holdings Bhd hari ini melancarkan varian terbaharu Saga iaitu Saga Plus bagi menggantikan edisi Saga SV yang berada di pasaran sekarang.

Kereta sedan yang boleh dilihat di semua bilik pameran Proton mulai esok, dilengkapi lima ciri-ciri tambahan tanpa caj tambahan, sekaligus menjadikannya amat berbaloi untuk dimiliki, kata Proton dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, dengan kehadiran Saga Plus, Proton akan mengecilkan varian Saga dengan menamatkan pengeluaran varian Eksekutif dan SE.

"Saga Plus didatangkan dengan lima perubahan luaran iaitu rim aloi 14 inci, kit badan penuh, spoiler, tanda gred 'Plus' dan warna hiasan belakang," katanya.

Ketua Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, penggunaan perkataan ‘Plus’ itu juga bagi memaparkan ciri-ciri tambahan model Saga SV sedia ada berkenaan.

"Model itu memaparkan aspek luaran varian Saga Executive namun mengekalkan lingkungan harga SV. Ini bermakna tiada sebarang peningkatan harga biarpun memiliki kereta yang ciri-cirinya dipertingkatkan," katanya.

Abdul Harith berkata, rekaan Saga Plus itu tidak hanya menarik untuk kalangan yang berkeluarga kecil, tetapi juga golongan belia dan eksekutif muda yang baharu saja melangkah ke dunia pekerjaan.

"Proton yakin Saga Plus itu akan terus menjadi tarikan untuk pembeli yang mencari kenderaan jenis sedan dan berbaloi untuk wang serta menepati kehendak mereka," katanya.

Saga Plus yang berkuasa enjin Campro IAFM 1.3 liter, didatangkan dalam jenis transmisi manual dan CVT manakala harganya serendah RM33,242 hingga RM36,576 seunit. - Bernama

Monday, November 10, 2014

Firman dinobat juara AF2014


Firman muncul juara pada Konsert Akhir Akademi Fantasia (AF) 2014 yang berlangsung di Bangunan MBSA Shah Alam, malam tadi. - Foto Munira Abdul Ghani
 
SHAH ALAM: Mhd Firman Bansir atau Firman diumumkan sebagai juara Akademi Fantasia 2014 (AF2014) pada konsert akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam ini.

Beliau membawa pulang wang tunai RM50,000, sebuah kereta Toyota Vios dan sebuah trofi.

"Saya gembira dengan kemenangan ini dan berharap ia akan menjadi pembuka jalan dalam kerjaya seni saya," katanya ketika berucap selepas menerima hadiah kemenangan daripada Pengetua AF 2014, Datuk Hattan.

Aman dan Ewal pula pemenang tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing membawa pulang hadiah berupa RM30,000, sebuah kereta Perodua MyVi dan trofi serta RM20,000 dan trofi.

Kelima-lima finalis turut menerima hadiah berupa pakej percutian untuk seorang ke Osaka, Jepun untuk seorang.

Selain 100 peratus undian penonton, persembahan peserta turut dinilai menerusi komen oleh juri tetap Datuk Ramli MS dan Raja Azura serta juri jemputan Amy Search.

Konsert final itu turut diserikan dengan persembahan artis undangan antaranya Dayang Nurfaizah, Mas Idayu, Ning Baizura dan kumpulan Bunkface.

sumber: Berita Harian

Wednesday, October 29, 2014

Ditahan kerana simbah air panas pada muka isteri

MELAKA - Seorang warga emas ditahan kerana menyimbah air panas ke muka isterinya yang enggan keluar membeli serbuk minuman, di sebuah rumah di Bachang di sini pada Ahad.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan di rumah itu bagi membantu siasatan kira-kira pukul 4 petang semalam.
 
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila peniaga itu yang ingin membancuh minuman mendapati serbuk minuman di rumah mereka telah habis sebelum menyuruh isterinya ke kedai kira-kira pukul 2 pagi Ahad.
 
"Lelaki tersebut berang apabila isterinya itu enggan ke kedai lalu menyimbahnya dengan air panas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
 
Beliau berkata wanita berusia 49 tahun dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di pondok polis di hospital tersebut kira-kira pukul 6 pagi pada Ahad.
 
Katanya lelaki tersebut ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
 
"Mangsa yang melecur di bahagian pipi kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan," katanya. - Bernama

p/s: Apa nak jadi dengan manusia sekarang ini. Adakah warga emas time tu stress? Frust? Sampai hati simbah isteri pakai air panas. Tidak patut.. tidak patut..