Penyakit Untut atau penyakit filariasis pernah menjadi satu penyakit yang amat digeruni di ASEAN. Penyakit ini dibawa oleh nyamuk jenis mansonia.Penyakit Untut Disebabkan oleh sejenis parasit. Penyakit Untut adalah disebabkan parasit Filariasis dan merupakan jenis penyakit menular di kawasan tropika, disebabkan oleh Cacing Filaria atau Cacing Gelang yang bersifat parasit seperti benang, Wuchereria bancrofti, Brugia malayi, dan Brugia timori, kesemuanya disebarkan oleh nyamuk. Ia amat jarang berlaku di negara Barat.
Bentuk Untut yang paling biasa adalah elephantitis (bengkak dibahagian alat kelamin atau peha), yang merupakan penyakit pertama disedari disebarkan oleh serangga. Elephantitis disebabkan parasit tinggal di nod sistem limfa. Pada tahun 1866, Otto Wecherer membuktikan kehadiran filiria, atau larva filiria, dalam air kencing.
Pada tahun 1871, Timoth Lewis menjumpai kehadiran microfilaria dalam darah (peripheral); kemudian pada 1876, Joseph Bancroft menjumpai bentuk dewasa. Akhirnya pada tahun 1878, Patrick Manson melapurkan perkembangan Wechereria bancrofti dalam nyamuk. Untut (Filariasis) adalah endemik di kawasan tropika di Asia, Afrika, Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Elephantitis cenderung menyerang bahagian bawah affects, manakala telinga, selaput hingus, dan kudung jarang diserang; bagaimanapun, ia bergantung kepada jenis spesies filaria. Wechereria bancrofti mampu menyerang kaki, lengan vulva, buah dada, sementara Brugia timori jarang menjangkiti alat kelamin.
sumber :
http://ms.wikipedia.org/wiki/Penyakit_Untut
Tumbuhan dan rawatan penyakit untut
Saintis Menulis
Oleh ZARIDAH MOHD. ZAKI
(Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia)
PENYAKIT untut atau nama sainsnya, Filariasis limfatik merupakan salah satu penyakit bawaan vektor yang utama di rantau ini dan tersebar luas di negara-negara tropika dan kawasan tenggara Asia. Walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi penularan penyakit ini didapati masih berterusan dengan terdapatnya laporan kes-kes baru dari semasa ke semasa. Apabila memperkatakan mengenai penyakit untut, sudah tentu kita akan membayangkan pesakitnya dengan kaki yang besar seperti gajah.
Penyakit ini sebenarnya disebabkan oleh cacing-cacing nematod berbentuk bebenang atau filariform yang hidup di dalam saluran dan kelenjar limfa di dalam tubuh badan mangsa yang dijangkiti. Cacing dewasa ini bertindak menyekat dan menghalang sistem limfa mangsa dan pada peringkat yang teruk, ia akan menyebabkan bengkak pada beberapa bahagian tubuh mangsa terjangkit tersebut seperti di bahagian kaki. Di antara spesies cacing nematod yang terlibat dalam jangkitan ini ialah seperti Brugia malayi dan Wuchereria bbancrofti dari keluarga Filarioideae. Cacing nematod ini memerlukan dua perumah untuk melengkapkan kitar hidupnya iaitu perumah tetap (dalam badan manusia) dan perumah perantara yang dibawa oleh nyamuk. Pada peringkat di perumah tetap, larva infektif bertukar menjadi cacing peringkat dewasa dan matang serta seterusnya membiak untuk menghasilkan jutaan larva peringkat pertama yang dikenali sebagai mikrofilaria. Sementara pada peringkat perumah perantara pula, terdapat larva cacing peringkat pertama (mikrofilaria) yang akan menjalani dua kali proses penggelongsongan kulit menjadi larva infektif.
Ubatan sintetik paling terkenal yang digunakan untuk merawat penyakit ini sejak 50 tahun dahulu dikenali sebagai dietilkarbamazin sitrat (DEC). Namun demikian, kesan sampingan dari penggunaan ubat ini tidak dapat dielakkan. Antara kesan sampingan yang teruk dan tidak dapat ditanggung oleh pesakit ini adalah seperti demam, gangguan gastro-usus, sakit kepala dan ruam.
Kajian mendapati juga bahawa ubatan DEC ini hanya berkesan terhadap mikrofilaria tetapi kekesanannya terhadap cacing dewasa masih diragui. Sehubungan itu, penyelidik digalakkan meneroka mendapatkan ubatan alternatif daripada sumber biologi yang lebih selamat.
Kajian penggunaan tumbuhan ubatan terhadap penyakit filariasis telah dijalankan seawal tahun 1982. Pengkaji-pengkaji di rantau ini, terutama dari India misalnya telah berjaya membuktikan keberkesanan tumbuhan ubatan untuk merawat penyakit untut selepas dilakukan beberapa proses saintifik. Bagaimanapun, penyelidik Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menjalankan penyelidikan berkaitan rawatan untut menggunakan sumber tumbuh-tumbuhan ubatan. Pada tahun 1997, sekumpulan peng-kaji daripada Fakulti Perubatan UKM dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah berjaya membuktikan keberkesanan sumber tumbuhan untuk membunuh kedua-dua mikrofilaria dan cacing dewasa spesies Brugia pahangi. Kajian menggunakan ekstrak air dan metanol pokok Xylocarpus granatum (nyireh bunga), Tinospora crispa (akar patawali) dan Andrographis paniculata (hempedu bumi) untuk tujuan tersebut.
Kajian yang dijalankan oleh mereka ini adalah berasaskan bahawa adunan (paste) keseluruhan buah daripada pokok nyireh bunga tersebut yang telah digunakan oleh Orang Asli di Malaysia semenjak dahulu sebagai bahan tuam untuk bengkak pada penyakit untut yang kronik. Ini diikuti pada tahun 1999, kajian sarjana di UKM dengan kerjasama FRIM juga mendapati bahawa ekstrak air daripada biji pokok nyireh bunga telah memberikan kesan membunuh yang tinggi terhadap cacing dewasa, sementara ekstrak air daripada batang pokok akar patawali pula memberikan aktiviti membunuh paling tinggi terhadap mikrofilaria cacing filaria spesies Brugia malayi subperiodik apabila ditindakkan secara in vitro.
Spesies cacing ini merupakan salah satu spesies cacing penyebab penyakit untut di Malaysia. Kajian-kajian yang telah dijalankan ini memberikan maklumat saintifik bahawa beberapa spesies tumbuhan telah berjaya dikaji kesannya dan memberikan hasil yang memberangsangkan terhadap perawatan dan pengawalan beberapa cacing filaria.Namun begitu kajian lanjut dan lebih mendalam perlu dijalankan untuk menentukan komponen aktif yang boleh menyebabkan wujudnya nilai antifilaria ini.
Kajian-kajian secara in vitro ini mencukupi untuk memberikan maklumat awal aktiviti antifilaria dan potensinya sebagai agen antifilaria daripada ekstrak tumbuhan, tetapi kajian secara in vivo diperlukan untuk lebih pemahaman tentang kesan dan mekanisme tindakan dalam pembangunan ubat terhadap cacing filaria ini.
p.s: Orang dulu-dulu percaya penyakit untut ini disebabkan oleh benda halus. Time budak-budak dulu pernah dengar orang cakap kaki jadi besar disebabkan oleh seekor kucing hitam melompat kaki kita dan bisuknya kaki jadi besar macam gajah dah.. hehehe.