Pages

Wednesday, August 19, 2015

Zainudin ingin lupakan pengalaman ngeri sebelum kembali mendaki



OLEH IZHAM WAIDI

KUNDASANG: Sejak tragedi gempa bumi 5 Jun lalu, sesetengah malim-malim gunung mencari haluan masing-masing untuk mencari rezeki di tempat lain, sementara menunggu aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu beroperasi semula.

Seorang malim yang sempat di temui New Sabah Times, Mohd Zainudin Robet Abdullah misalnya, kini mengambil upah dengan bekerja di sebuah gerai borong sayuran yang terletak di Pekan Kundasang.

Menurut Zainudin, 22, beliau selesa bekerja (di gerai borong sayuran) dalam masa sama menjadi pemandu pelancong untuk menjana pendapatan hariannya.

Zainudin mula bekerja di kedai terbabit sejak awal julai lalu. Anak muda ini yang menetap bersama keluarganya di daerah ini, adalah berasal dari Tenom.

“Buat sementara ini untuk tahun ini, saya ingin berehat seketika daripada mendaki gunung kerana masih banyak peristiwa yang tidak boleh saya lupakan sejak kejadian itu,” jelas Zainudin lagi ketika ditemui sewaktu sedang bekerja di gerai terbabit.

Zainudin turut memberitahu, selepas operasi pendakian gunung ditutup sementara waktu, beliau pernah melahirkan kerisauan memikirkan kesukaran mencari pekerjaan lain, apatah lagi pendapatannya hanya bergantung hasil pendakian di Gunung Kinabalu.

“Walau bagaimanapun, saya bersyukur dengan kerja ini biarpun pendapatan yang diperolehi tidak selumayan dengan kerja mendaki,” kata Zainudin lagi sambil menambah ingin berhasrat hendak mendaki semula pada tahun hadapan.

Dalam pertemuan itu juga, Zainudin sempat menceritakan detik-detik cemas dan panik ketika berada di atas Gunung Kinabalu sewaktu gegeran pertama berlaku.

Menurutnya, ketika itu beliau sedang mengambil gambar pendaki pada awal pagi di puncak apabila tiba-tiba berlaku gegaran yang kuat. Pada mulanya beliau menyangkakan ia adalah daripada bunyi kapal terbang yang sedang mendarat di gunung sehinggalah beliau mendengar bunyi gema yang amat kuat.

“Selepas daripada gegaran pertama itu, permukaan gunung diliputi habuk kesan daripada runtuhan batu. Ketika itu kami semua memang panik. Namun sebagai malim gunung, kami perlu memainkan peranan kerana tanggungjawab kami adalah untuk menjaga pendaki-pendaki yang berada di tempat itu,” cerita Zainudin lagi. Mereka (malim) sedaya upaya cuba hendak menenangkan perasaan pendaki. Zainudin bersama lima malim mengiringi seramai 13 lagi pendaki dari semenanjung.

“Kami mengumpulkan kesemua pendaki ketika berada di atas check point lalu kami mencari jalan untuk mendapatkan air minuman seperti dari lopak. Para pendaki yang ketika itu dalam keadaan lapar serta dahaga, terpaksa juga sahaja meminum air berkenaan untuk tenaga,” tambahnya lagi.

Kesemua pendaki tiba di tempat ketibaan Timpohon pada jam tiga pagi. Zainuddin juga menceritakan ketika melintasi di Via Ferrata pada waktu 9 malam.

“Semasa melintasi Via Ferrata, ini merupakan benda paling mengerikan dalam hidup saya. Kami melihat bagaimana keadaan mayat-mayat yang mengerikan yang mana sehingga kini masih terbayang dalam ingatan saya.” Ujarnya lagi.

Selepas tragedi itu, malim-malim yang terlibat menerima pelbagai anugerah dan sumbangan hasil daripada usaha dan kerja keras mereka.

“Pemberian sumbangan kepada malim berlesen penuh dan pelatih amat berbeza. Memandangkan saya tidak mempunyai lesen penuh dan sekadar berstatus pelatih, sumbangan yang saya perolehi adalah berbeza daripada malim yang memiliki lesen penuh,” kata Zainudin lagi.

Meskipun kecewa sumbangan yang diterima tidak sama rata, bagi Zainudin perkara penting ialah kesemua pendaki dan dirinya terselamat daipada bencana itu.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana masih dapat meneruskan hidup setelah diberi peristiwa yang belum pernah dialami,” katanya.

Sementara itu majikan Zainudin, Sitineh Hussain berpuasa hati dengan prestasi kerja yang ditunjukkan Zainudin sejak beliau mula bekerja di syarikatnya.

“Zainudin sangat berkerja keras dan sentiasa mematuhi arahan. Saya berharap agar beliau dapat meneruskan kerjanya di syarikat ini,” kata Sitineh lagi.

Source: News Sabah Times

No comments:

Post a Comment